Sabtu, 25 Ogos 2012

RAYA KE-7

Assalamualaikum wbt.

Hari ini saya berpuasa untuk hari ke-3.  Mudah-mudahan selamat sampai ke petang. .

Cikgu Mat Zaidi dari Bandar Tenggaroh Kota Tinggi dan keluarga datang.



 Tn Hj Azmi (adik ipar) dan keluarga dari Senai datang.
(tidak sempat merakam gambar)


Sekumpulan insan istimewa (bisu) dari Batu Pahat datang.




Jumaat, 24 Ogos 2012

RAYA KE-6 PULAK

Assalamualaikum wbt.

Pada hari raya keenam, kami berhari raya ke Johor Bahru (kecuali) Mohd Fitri yang tidak ikut kerana dia telah mempunyai program lebih awal - beraya dengan kawan-kawan maktab.

Pada mulanya kami membuat perancangan untuk beraya di rumah-rumah kenalan, saudara mara di Johor Bahru, tetapi terpaksa membatalkannya kerana masa tidak mengizinkan.  Sebenarnya pada hari tersebut Mohd Arifudin ada temujanji dengan syarikat perumahan untuk menandatangani surat-surat jual beli rumah. Dia membeli sebuah atpatmen di Nusa Jaya; kerana itulah kami tidak dapat berjalan-jalan ke tempat lain.

Rumah yang mula-mula diziarahi ialah rumah adik ipar yang terletak di Taman Senai Utama, Senai. Kami dijamu dengan bakso....semua menikmatinya seperti orang kelaparan, termasuk saya sebab itu kali pertama makan bakso.  Selama ini hanya melihat perkataan 'bakso' terpampang di warung-warung di tepi jalan.


Hingga tak cukup kerusi

Saya merakam gambar bakso

Tangan isteri saya menceduk bakso...

Bergambar ramai sebelum meninggalkan rumahnya
Terima kasih kepada Tn Haji Azmi dan isterinya Pn Hjh Norhayati serta keluarga kerana menerima kunjungan kami pada setiap hari raya puasa. Dengan itu sahajalah kita dapat menjalin persaudaraan yang lebih rapat dan mesra, selain menyedarkan kepada anak-anak yang mereka ada saudara di sebelah emaknya. Kami saling berbalas-balas kunjungan.



Disebabkan hari Jumaat, kami terpaksa bergegas ke Nusa Idaman.  Sementara orang-orang perempuan berehat di rumah Mohd Noor Azam, orang-orang lelaki pergi menunaikan solat Jumaat di masjid di Taman Bukit Indah.  Alamdulillah...raya, raya juga; tetapi kewajiban terhadap Allah tetap dilaksanakan, malah diutamakan.

Selepas solat Jumaat, kami ke rumah besan di Taman Kangkar Pulai. Kami dilayan dengan baik sehingga terlupa untuk menggunakan kamera bagi merakam peristiwa pada kunjungan tersebut. Selepas itu kembali semula ke rumah Azam.

Tiga cucu yang lasak

Azam menjamu kami dengan nasi ayam, sempena hari lahirnya yang ke-31 tahun pada keesokan harinya (25 Ogos )

Disebab dah kenyang saya hanya menyunyah/makan salat sahaja

Bukan senang nak ajak mereka bergambar serentak, terutama Riqzin yang sukar dipegang/peluk.  Tapi ada kalanya dia menyerah diri (macam dalam gambar di atas).  Afif pula dengan 'anginnya' yang kuat merajuk....pantang silap sedikit, dia akan berlari menjauhkan diri sehinggalah diambil dan didukung.  Sebenarnya dia nak bermanja.....

Sebelum balik bergambar ramai.

Bersama cucu-cucu.

Kami pulang ke Yong Peng pada jam 8.30 malam. 

Insyallah saya bercadang akan ke JB sekali lagi untuk menziarahi yang lain,,,,,

--------------------------------

Khamis, 23 Ogos 2012

RAYA KE-5

Hari ini hari raya yang ke-5. Saya tida ke mana-mana kerana telah ada yang membuat temu janji akan berkunjung ke rumah.

Seperti semalam, ada murid-murid isteri seramai 7 orang datang.  Walaunpun saya tidak mengenali mereka, tetapi sebagai tetamu tetap kami layang dengan baik.  Yang penting memberi duit raya seikhlasnya.
.



Long Razak dan Kak Bit dari KL datang bersama keluarga anak sulungnya Munshi.  Inilah kali pertama Munshi dan keluarganya berkunjung ke rumah saya.







Semasa Keluarga Long Razak masih ada, Jojo dan keluarganya pula datang. Setiap tahun Jojo memang anak berkunjung bersama isteri dan anak-anaknya.




Hari hampir petang, anak saudara saya, Suhaimee yang tinggal di Pt Sulung serta keluarga pula datang.  Turut serta kakak ipar saya Hamidah binti Selamat.


Rabu, 22 Ogos 2012

GAMBAR-GAMBAR TAMBAHAN RAYA KE-4

Assalamualaikum wbt.
Pagi-pagi lagi ada tetamu kecil datang. Dua orang dari Yong Peng dan dua orang lagi dari Johor Bahru. Johor Bahru? Entah anak siapalah agaknya. Tapi kami layan juga sebagai tetamu di hari raya. Kami menganggap setiap yang datang itu membawa seribu kerahmatan. 


 Mahathir bin Ibrahim merupakan anak saudara saya sebelah kakak. Dia mengajar di SMK Seri Lalang.  Memang setiap tahun datang berkunjung bersama keluaranya. Dia mempunyai seorang anak istimewa, yang saya lihat ada perkembangan yang baik setiap kali berjumpa.

Giliran kawan-kawan Khirul Anwar datang.  Kesemuanya semasa belajar di SMK Jalan Kolam Air, Batu Pahat (Sekarang SMK Dato Syed Esa). Walaupun ketika di tingkatan tiga mereka pernah diambil tindakan gantung sekolah selama 10 hari, tetapi sekarang masing-masing telah berkerjaya dengan cemerlang.

Tetamu lain tidak sempat dirakam

Selasa, 21 Ogos 2012

RAYA KE-4

Balik dari solat subuh berjemaah di surau.

Adi bungsu saya Haji Mohd Tohid yang tinggal di Jerantut Pahang datang bersama anak bungsu dan seorang anak angkatntya dan tidur semalam di rumah saya.

Dua beradik (beza umur dua tahun)




Kami menziarahi kubur emak dan abah serta abang di tanah perkuburan Ayer Hitam dan bertahlil.

Adik membawa kereta Perdana V6 yang lemah baterinya. Semasa hendak meninggalkan tanah perkuburan, keretanya tidak boleh distart. Terpaksalah dibantu nafas oleh Honda City saya.  Bila saya suruh beli batteri yang baru, katannya membazir sebab dia sudah ada satu batteri di rumah (Jerantut). Disebabkan dia mempunyai kepakaran dalam membaiki kenderaan, maka hal itu sedikit pun tidak menajadi masalah kepadanya. Pernah suatu ketika dia membawa sebuah kereta kancil (uzur) ketika datang ke rumah saya dari rumahnya pada waktu malam. Kalau saya......entahlah


Di sebelah tempat kami pakir kereta terdapat tiga buah liang lahat yang telah siap digali. Pada mulanya saya hendak masuk ke dalam dan suruh adik mengambil gambar, tapi tak jadi. Takut kalau-kalau tak boleh naik semula. Apa-apa pun melihat liang-liang lahat tersebut timbul keinsafan di hati saya: Inilah tempat aku nanti - tiada teman, tiada kemewahan dan tiada segala-galanya kecuali amalan. Memang betul-betul insaf.

PADA HARI RAYA KE-3

Iman dan Afif memang mudah diambil fotonya, walaupun Afif kuat merajuk.


Tambah seorang lagi - Rizqin. Rizqin susah sedikit nak diajak bergambar. Sebab itu tidak banyak gambar bersamanya. Dia asik hendak bersama emaknya sahaja - nak nenen!

Muhammad Iman dan Muhammad Naufal Rizqin dua orang sepupu.

Sejak hari raya tahun lalu Tn Hj Omar b Sujak, Mantan GB SKPK Jalan Peel, KL dan keluarga menjadi tetamu saya. Ini disebabkan dia hendak menghantar anak sulungnya kembali bertugas sebagai jururawat di Hospital Besar Segamat.

Tengoklah perbezaan fizikal saya dengan Hj Omar, walau bagaimanapun ilmu agamanya sangat tinggi berbanding dengan saya. Pada tahun lepas saya telah membalas kunjungannya.  Tahun ini...insyallah. Rayakan sebulan.

Memang sukar hendak bergambar dengan tiga orang cucu serentak. Tengok tu....Afif menangis.  Rupanya dia merajuk hendakkan mainan pedang yang dimiliki oleh Rizqin. Terpaksalah bapanya ke kedai membelikannya dengan serta merta. 

Tn Hjh Baidari dan keluarga datang tanpa apa-apa notis terlebih dahulu. Beliau pernah menjadi jiran saya pada suatu ketika dulu.  Sekarang sudah bersara (guru penolong kanan) dan tinggal di Rengit.

En Nazri dan isterinya dari Penang datang. Mereka juga pernah menjadi jiran saya (depan rumah). Datang bersama dua dari tiga orang anaknya. 

Abang Ipar - Tn Hj Abu Bakar dan isteri serta menantu dan cucu-cucunya (bukan semua) datang. Saya panggil Abang Long - terima kasih abang Long kerana sudi datang.  Mereka tinggal di Taman Tun Dr Ismail, KL

Ini tetamu istimewa kata saya, sebab inilah kali pertama mereka datang sempena hari raya. Sahrurazi, anak saudara saya sebelah kakak merupakan jurutera air carft di Pulau Pinang. Datang bersama isteri dan tiga orang anaknya. Selain istimewa kerana kali pertama datang, istimewa juga kerana dialah satu-satunya (tetamu) yang datang tanpa ditunjukkan arah rumah saya. 

Ini sayalah....hari ini hujan, saya hendak menguruskan sampah yang sudah 3 hari tidak diangkut. Disebabkan malas nak ambil payung....saya gunakan gayung sebagai topi. Jangan bimbang, saya masih siuman lagi....

Aktiviti biasa bila bersama cucu-cucu.....